BRISBANE: Pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka mempertahankan kejuaraan Terbuka Brisbane selepas menewaskan pemain Ukraine, Marta Kostyuk 6-4, 6-3 pada aksi final, semalam.
Lebih manis, bintang teni Belarus itu muncul juara tanpa kehilangan sebarang set menjelang misinya merampas semula gelaran Terbuka Australia bulan ini.
Kostyuk hadir ke final dengan reputasi cemerlang selepas menumbangkan tiga pemain kelompok 10 terbaik dunia iaitu Jessica Pegula, Mirra Andreeva dan Amanda Anisimova, namun gagal menandingi kekuatan dan ketepatan pukulan juara Terbuka AS itu.
Sabalenka yang bertekad menebus kekecewaan musim lalu percaya prestasinya dalam cuaca panas terik Brisbane memberi petanda positif menjelang cabaran di Melbourne Park yang bermula 18 Januari ini.
“Terima kasih kepada pasukan saya kerana mengendalikan saya kerana saya sebenarnya orang paling sukar untuk dikendalikan dan kamu semua adalah orang paling hebat di dunia jika mampu mengendalikan saya.
“Terima kasih kepada teman lelaki saya dan mungkin tidak lama lagi saya akan memanggil awak dengan gelaran lain, jadi mari kita letakkan sedikit tekanan tambahan, ya,” kata Sabalenka.
Pemain berusia 26 tahun itu bermula garang dengan mendahului 3-0 pada set pertama sebelum sedikit goyah apabila servis pertamanya gagal berfungsi, namun segera bangkit dengan mengurangkan pukulan berisiko tinggi untuk kembali menguasai perlawanan.
Sabalenka kemudian mendahului 3-0 pada set kedua selepas mematahkan servis pertama Kostyuk dan menamatkan perlawanan untuk meraih gelaran WTA ke-22 apabila lawannya tersangkut pukulan pemulangan pada mata kejuaraan pertama.
Sementara itu, Kostyuk berkata fikirannya sentiasa kepada rakyat Ukraine yang sedang bergolak berikutan cuaca sejuk yang melampau
“Saya bermain setiap hari dengan kesakitan di hati kerana ada ribuan orang yang hidup tanpa bekalan elektrik dan air panas, ketika di sini sangat panas.
“Sukar membayangkan realiti di rumah apabila kakak saya terpaksa tidur dengan tiga selimut kerana suhu mencecah negatif 20 darjah,” kata Kostyuk.- AGENSI










