PARIS: Juara Olimpik, Zheng Qinwen terpaksa menarik diri daripada Terbuka Australia hujung bulan ini berikutan tahap kecergasan fizikalnya belum berada di tahap memuaskan.
Bintang tenis China itu pernah mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia tahun lalu, namun tewas kepada pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka, 6-3, 6-2.
Zheng menjalani pembedahan siku selepas tewas pada pusingan pertama Wimbledon, Julai lalu sebelum kembali beraksi dalam Jelajah WTA pada September.
Namun, Zheng menarik diri pada pusingan ketiga Terbuka China di Beijing selepas mengakui bahawa dia tergesa-gesa untuk kembali ke gelanggang.
“Selepas penilaian rapi oleh pasukan saya dan mengikut nasihat perubatan, malangnya saya akan menarik diri daripada Terbuka Australia 2026.
“Walaupun pemulihan saya berjalan dengan baik dan tempoh rehat di luar musim berjalan lancar, untuk beraksi dalam kejohanan Grand Slam memerlukan pemain berada pada tahap persaingan yang sangat tinggi.
“Buat masa ini, saya masih belum mencapai tahap terbaik yang telah saya tetapkan untuk diri saya,” kata Zheng.
Zheng menikmati musim 2024 dengan cemerlang, menewaskan Donna Vekic 6-2, 6-3 untuk memenangi pingat emas Olimpik di Paris, selain mara ke perlawanan akhir WTA Finals sebelum tewas kepada Coco Gauff dalam penentuan set terakhir melalui tie-break. – AGENSI










