SERDANG: Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) komited memperkasa pembangunan sukan kampus dan bakat muda menerusi penganjuran Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Bawah 14 dan 16 Tahun.
Menerusi kejohanan itu, pihak penganjur berjaya menghimpunkan pemain-pemain muda kategori bawah 14 dan bawah 16 tahun dalam suasana persaingan sihat dan berdisiplin.
Program ini dianjurkan oleh pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2117 Ragbi di bawah seliaan PKPP sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman, di samping menyokong pembangunan akar umbi sukan ragbi.

Penganjuran kejohanan ini memberi penekanan terhadap nilai kesukanan, kerjasama berpasukan serta pembentukan jati diri atlet muda melalui pendekatan pertandingan yang terancang dan selamat.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta diuji dari segi ketahanan fizikal, kemahiran teknikal, kefahaman taktikal serta disiplin permainan. Selain menjadi medan mencungkil bakat baharu, U14 & U16 Putra 7’s turut berperanan sebagai platform integrasi antara institusi pendidikan, komuniti sukan dan pihak universiti dalam memupuk budaya sukan yang progresif dan berdaya saing.
Penglibatan pelajar universiti sebagai urusetia dan jawatankuasa pelaksana pula memberi nilai tambah kepada pembelajaran kokurikulum apabila mereka berpeluang mengaplikasikan kemahiran pengurusan acara, kepimpinan dan komunikasi secara praktikal di luar bilik kuliah.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Ts. Dr. Rozzamri Ashari yang turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen penganjur, jurulatih serta para peserta dalam menjayakan kejohanan ini.
Secara keseluruhan, kejohanan berjaya mencapai objektifnya sebagai platform pembangunan bakat ragbi peringkat awal, pembinaan sahsiah atlet muda serta pengukuhan ekosistem sukan kampus.
Inisiatif ini sekali gus mengukuhkan peranan UPM sebagai institusi yang aktif memacu kecemerlangan pelajar dan komuniti melalui sukan dan kokurikulum berstruktur.- UTUSAN










