PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) membawa masuk sembilan pemain muda berbakat ke dalam Program Podium sebagai persiapan jangka panjang mengekalkan keunggulan negara di pentas antarabangsa.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, penggabungan pemain muda ini bukan rombakan total tetapi strategi penting untuk memastikan kesinambungan dan kestabilan prestasi pasukan sepak takraw negara.
“Kita tidak buang pemain senior sesuka hati. Pemain yang masih capai KPI dan beraksi konsisten akan terus dikekalkan. Teras utama pasukan sekitar 70 hingga 80 peratus masih sama,” katanya.
Sumali menambah, pendedahan awal kepada bakat muda ini penting supaya mereka tidak terkejut apabila beraksi di pentas dunia dan dapat belajar terus daripada tonggak senior yang berpengalaman.
“Ini penting supaya mereka tidak terkejut bila diperlukan nanti. Kita mahu mereka rasa lebih awal, belajar daripada pemain senior dan bina keyakinan,” katanya.
Beliau juga mengakui langkah ini diambil selepas Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang di Sukan SEA 2025 dan Piala Dunia baru-baru ini, sekali gus menjadi momentum untuk memastikan persaingan dengan pasukan seperti Thailand sentiasa mantap.
“Kita perlu bersedia dari sekarang. Negara lain, terutama Thailand, sentiasa ada generasi baharu. Jadi kita tidak boleh leka,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun turut senada dengan Sumali apabila menegaskan kemasukan pemain muda adalah persiapan utama untuk menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
“Sudah semestinya pemain-pemain muda yang kita panggil untuk menjalani latihan bersama dengan pasukan kebangsaan dapat menimba pengalaman.
“Ia juga untuk mempamerkan prestasi yang konsisten daripada masa ke semasa supaya mereka cepat meningkat dan juga matang sebagai salah satu persiapan untuk ke Sukan SEA 2027 nanti.
“Kerana rata-rata pemain-pemain kebangsaan pada ketika ini semakin berusia dan persiapan awal untuk penggantian pemain-pemain senior perlu kita mulakan daripada peringkat awal supaya mereka semua dapat mencapai ke tahap yang lebih baik berbanding daripada sebelum ini, Insya-Allah,” katanya.-UTUSAN










