Persiapan huru hara rencatkan aksi di Sukan SEA-Tasha

Persiapan huru hara rencatkan aksi di Sukan SEA-Tasha

TASHA Mae (dua dari kanan) mengakui persiapan skuad bola tampar pantai ke Sukan SEA 2025 tidak sempurna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan persiapan rapi, latihan tidak berpusat serta masalah dana dikenal pasti sebagai punca utama prestasi hambar skuad bola tampar pantai negara pada Sukan SEA 2025.

Atlet kebangsaan, Tasha Mae berkata, sekembalinya beliau dari Amerika Syarikat (AS) pada awal Oktober lalu, jangkaan untuk menyertai latihan berpusat bersama pasukan kebangsaan tidak menjadi kenyataan apabila perancangan latihan masih belum dimuktamadkan.

“Saya ingatkan bila balik, kita terus masuk fasa ‘centralized training’. Tapi rupanya tiada apa-apa perancangan lagi. Masa itu pasukan pun belum mula latihan serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Tasha, tempoh kira-kira tiga bulan sebelum Sukan SEA sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan kemahiran dan membina keserasian pasukan, namun beberapa cabaran besar mengganggu kelancaran latihan.

Antara faktor utama ialah keadaan cuaca apabila hujan lebat kerap melanda sehingga menjejaskan sesi latihan di gelanggang terbuka.

Lebih malang, situasi bertambah sukar apabila jurulatih pasukan turut berdepan kekangan masa kerana bertugas sebagai guru sekolah di Pahang.

“Jurulatih kami tidak mendapat pelepasan penuh. Jadi kami kerap ulang-alik dari Shah Alam ke Pahang. Jadual latihan jadi tak menentu dan susah nak fokus ikut perancangan mingguan,” jelasnya.

Tambah Tasha, kekurangan kakitangan kejurulatihan turut memberi kesan besar terhadap prestasi pasukan, apabila skuad kebangsaan hanya mempunyai seorang jurulatih yang terpaksa membahagikan masa dan tanggungjawab.

“Ada masa kami latihan sendiri. Latihan sendiri itu okay, tapi sebagai pasukan kebangsaan, kita perlukan orang luar untuk pantau, betulkan asas dan strategi,” katanya.

Beliau turut membandingkan situasi itu dengan pasukan Filipina yang memenangi pingat emas, apabila mereka mempunyai enam jurulatih untuk empat pemain, berbanding Malaysia yang hanya bergantung kepada seorang jurulatih bagi empat atlet.

Namun, Tasha menegaskan punca terbesar yang menghantui bola tampar pantai negara ialah kekurangan dana serta ketiadaan sistem pembangunan atlet jangka panjang.

“Bola tampar bukan sukan yang disokong sepenuhnya kerajaan. Kami tak ada elaun tetap dan dana pun terhad. Atlet jadi macam separuh masa, hanya berkumpul bila ada kejohanan besar,” katanya.

Untuk rekod, skuad bola tampar pantai negara gagal mencapai sasaran di Sukan SEA 2025, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju dan masa depan pembangunan sukan itu di peringkat nasional.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN