Penggantungan FIFA ‘rugikan’ bola sepak Malaysia

Penggantungan FIFA ‘rugikan’ bola sepak Malaysia

WINDSOR PAUL JOHN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengakui impak besar bakal diterima arena bola sepak Malaysia seandainya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 

Kesan penggantungan bakal mengakibatkan bola sepak Malaysia mengalami nasib sama seperti yang berlaku kepada Indonesia, Timor Leste, Kuwait dan Brunei.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan risiko dan kesan yang akan berlaku adalah merujuk kepada kes-kes penggantungan yang sebelum ini telah menimpa ahli gabungan badan induk bola sepak Asia itu.

Katanya, meskipun liga bola sepak tempatan boleh dilangsungkan seperti biasa namun aktiviti bola sepak Malaysia akan terhad di dalam negara sahaja, selain kelab-kelab Malaysia tidak dibenarkan bersaing di kejohanan anjuran AFC seperti Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), Liga Juara-Juara Asia (ACL 2) dan sebagainya.

“Jika persatuan (FAM) dikenakan penggantungan maka aktiviti bola sepak terhad dalam Malaysia sahaja. Mereka tidak boleh berurusan dengan mana-mana persatuan-persatuan bola sepak lain.

“Perlawanan persahabatan melibatkan pasukan kebangsaan daripada peringkat bawah umur hingga senior juga tidak boleh diadakan. Perkara ini pernah terjadi kepada Indonesia, Kuwait, Timor Leste dan Brunei.

“Pegawai-pegawai seperti pengadil juga tidak boleh terlibat dengan aktiviti di luar daripada Malaysia. Itu adalah keadaan yang sangat drastik yang mana-mana negara tidak ingin ia berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dalam masa sama, FIFA dan AFC turut mempunyai kuasa untuk campur tangan dan mengambil alih tadbir urus FAM secara sementara bagi memulihkan keadaan.

Windsor menjelaskan satu kumpulan jawatankuasa akan ditubuhkan terdiri daripada lima orang dengan lantikan oleh FIFA bagi memperbaiki dan membantu mentadbir FAM.

“Jawatankuasa berkumpulan itu terdiri daripada lima orang dan berperanan seperti exco. Mereka akan bekerja sepenuh masa dan menerima gaji daripada FIFA.

“FIFA dan AFC akan beri skop tugas kepada mereka, tempoh perkhidmatan mungkin tiga, enam, sembilan bulan atau lebih bergantung kepada kerja yang perlu diselesaikan dalam persatuan itu,” jelasnya.

Windsor bagaimanapun tetap menghormati pendirian FAM untuk membawa kes berkenaan ke CAS dan sebarang hukuman daripada AFC hanya akan diputuskan selepas keputusan yang dijangka diputuskan pada Mac ini.

Pada November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain warisan terbabit, sekali gus hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu kekal.

FAM juga telah mengesahkan telah mengemukakan pernyataan rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN