NILAI: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nur Alyssa Mohd Farid mengakui berpuas hati dengan prestasi dirinya apabila berjaya memenangi acara keirin elit pada Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, hari ini.
Lebih manis, Nur Alyssa yang memasuki tahun keduanya bersama skuad senior melakukan catatan 11.287 saat (s) menewaskan rakan senegara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri di tempat kedua manakala gangsa milik Yeung Cho Yiu.
“Secara keseluruhan, saya sangat gembira. Pagi ini, dalam saingan separuh akhir, saya mendapat tempat teratas untuk mara ke final. Final sangat mencabar tetapi saya cuba sedaya upaya dan berjaya meraih pingat emas.
“Izzah memberi tentangan yang kuat, begitu juga para pelumba dari pasukan Hong Kong. Saya telah melakukan yang terbaik dan saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini.
“Walaupun Izzah seorang atlet Olimpik, saya tetap memberikan yang terbaik menentangnya. Kami berlatih bersama, sering berbincang dan saling memberi motivasi dan saya gembira dapat meraih kemenangan pertama ke atasnya,” katanya kepada pemberita.
Alyssa mencuri tumpuan pada tahun 2024 apabila mencipta sejarah sebagai pelumba wanita Malaysia pertama yang layak ke final keirin pada Kejohanan Dunia Trek Junior di China, namun dia terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan tersebut.
Sementara itu, bagi saingan keirin lelaki menyaksikan pingat emas dimenangi wakil negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas melakukan catatan masa 10.211s.
Pingat perak dimenangi atlet Indonesia, Dika Alif Dhentaka manakala gangsa milik To Cheuk Hei dari Hong Kong. – UTUSAN










