Moraes atasi dua penyerang JDT

Moraes atasi dua penyerang JDT

CHRIGOR Moraes kini mendahului senarai penjaraing terbanyak Liga Super.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perebutan status penjaring terbanyak Liga Super makin rancak selepas penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes meledak empat gol ketika membantu Gergasi Merah membenam DPMM FC 5-2 pada Sabtu lalu.

Empat gol yang dihasilkan Chrigor menyaksikan dia kini mengumpul 16 jaringan keseluruhan, sekali gus mendahului carta penjaring dengan kelebihan tiga gol berbanding dua pencabar terdekat iaitu Bergson da Silva dan Jairo da Silva.

Dua penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, sebelum ini berada di dua kedudukan teratas, namun kini terpaksa berpuas hati menghuni tangga kedua serta ketiga.

Kedua-dua penyerang kebangsaan Brazil itu gagal menambah koleksi gol masing-masing ketika JDT berdepan Negeri Sembilan FC di Paroi pada 9 Januari lalu.

Situasi berkenaan menyaksikan Bergson mengumpul 13 koleksi gol manakala Jairo 12 jaringan, sekali gus membuka ruang buat Chrigor mencipta jurang selesa dalam perebutan Kasut Emas Liga Super.

Di tangga keempat pula, penyerang Kuching City FC, Ronald Ngah Wanja mengumpul sembilan gol, manakala Safawi Rasid berada di kedudukan kelima dengan lapan jaringan setakat ini.

Kedudukan Safawi menyaksikan dia ketika ini merupakan penjaring terbanyak tempatan Liga Super musim ini, mengatasi beberapa nama besar lain dalam kalangan pemain tempatan.

Dia bagaimanapun dicabar rapat pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi yang sudah meledak tujuh gol dan dijangka terus memberi tekanan dalam perlumbaan penjaring tempatan.

Persaingan sengit antara Chrigor, Bergson dan Jairo dijangka semakin hangat apabila Liga Super memasuki hari perlawanan ke-16 pada 13 dan 14 Januari ini.

Bergson dan Jairo berpeluang menambah angka gol apabila turun menentang Kuching City esok manakala Chrigor dijangka terus menjarakkan jurang gol apabila berdepan Negeri Sembilan FC pada hari yang sama.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN