TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa Iran lumpuh selepas dibedil tanpa henti sejak Sabtu lalu, dalam serangan yang turut mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Trump juga mendakwa ibu negara Iran ini sudah menjadi bandar hantu dengan sistem pertahanan udara dan laut ‘lenyap’ sepenuhnya.
Tentera Israel pula mendakwa menyerang pejabat presiden Iran, sebuah kompleks nuklear rahsia dan seorang komander Pengawal Revolusi di Teheran, manakala tentera AS mendakwa ia memusnahkan kemudahan komando, tapak pelancaran peluru berpandu serta lapangan terbang.
Letupan turut dilaporkan berlaku di seluruh Iran, dengan Bulan Sabit Merah menyatakan 780 orang terbunuh sejak Sabtu lalu.
Iran membalas serangan tersebut dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel dan negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, sebuah dron melanggar kawasan parkir bersebelahan konsulat AS di Dubai pada Selasa dan mencetuskan kebakaran di lokasi itu.
Trump berkata, AS berusaha memusnahkan keupayaan peluru berpandu balistik dan tentera laut Iran, keupayaan membangunkan senjata nuklear serta sokongannya terhadap kumpulan proksi di rantau itu.
Beliau turut menggesa rakyat Iran menggunakan serangan tersebut untuk ‘merebut kuasa pemerintahan’.
“Kami memberi impak yang sangat kuat. Hampir semua yang mereka ada kini dimusnahkan. Jumlah peluru berpandu mereka semakin berkurangan,” dakwa Trump di Rumah Putih semalam.
Trump turut mengulangi dakwaan 49 pemimpin Iran ‘dibunuh’ pada Sabtu dan berkata, terdapat satu lagi serangan terhadap kepimpinan baharu, tanpa memberikan butiran lanjut.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan kenyataan mendakwa serangan udara di Teheran membunuh pemangku komander Kor Lubnan Pasukan Quds, cabang operasi luar Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Pasukan itu turut mendakwa menyerang sebuah kompleks rahsia di pinggir Teheran yang didakwa menjadi lokasi kumpulan saintis di bawah kementerian pertahanan Iran untuk membangunkan keupayaan diperlukan bagi senjata nuklear.
Badan pemantau nuklear global, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam kenyataan berasingan berkata, imej satelit membolehkannya mengesahkan beberapa kerosakan baharu pada bangunan masuk di Loji Pengayaan Bahan Api Natanz bawah tanah di Iran.
“Tiada kesan radiologi dijangkakan dan tiada impak tambahan dikesan di FEP itu sendiri,” tambahnya.
Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) juga mengatakan tiada rekod pelepasan bahan radioaktif di Natanz susulan ‘serangan jenayah’ tersebut.
Natanz sebelum ini mengalami kerosakan teruk semasa serangan AS dan Israel dalam konflik pada Jun 2025, dan loji itu dipercayai memiliki uranium diperkaya yang boleh digunakan sebagai bahan api reaktor tetapi juga senjata nuklear.
Kedua-dua AS dan Israel belum mengisytiharkan mereka menyerang Natanz dalam beberapa hari terakhir, tetapi imej satelit menunjukkan kerosakan baharu pada fasiliti tersebut hasil operasi tentera yang sedang berlangsung.
Imej satelit yang kemudian dikeluarkan oleh Vantor menunjukkan kemusnahan meluas di pejabat presiden Iran dan beberapa lokasi politik serta ketenteraan utama lain, termasuk kompleks kehakiman, kementerian perisikan, bangunan milik penyiar negara IRIB serta ibu pejabat IRGC.
Pejabat badan ulama yang bertanggungjawab memilih pengganti Ali Khamenei sebagai pemimpin tertinggi, iaitu Assembly of Experts, juga dibom di bandar Qom pada hari Selasa, lapor media Iran.
Dua video yang disahkan oleh BBC menunjukkan bangunan itu hampir musnah sepenuhnya, manakala sebuah bangunan berdekatan turut mengalami kerosakan teruk.
Bagaimanapun IRIB melaporkan bangunan-bangunan itu sudah dikosongkan terlebih dahulu dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – UTUSAN










