KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City FC terus menghambat kedudukan dua terbaik liga selepas menewaskan Imigresen FC 4-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian, Risto Vidakovic berada di tangga ketiga mengekori rapat Kuching FC di tempat kedua dengan kedua-dua pasukan berkongsi 28 mata.
Dalam aksi tersebut, KL City hampir memecah kebuntuan pada minit ke-27 selepas Safawi Rasid berada dalam situasi satu lawan satu namun percubaannya dinafikan penjaga gol, Zarif Irfan.
Tuan rumah berjaya menembusi gawang lawan empat minit kemudian menerusi jaringan kapten, Paulo Jouse setelah menerima hantaran lintang daripada Kamal Azizi.
KL City FC hampir menggandakan jaringan tiga minit kemudian namun gol Victor Ruiz dibatalkan menerusi video bantuan pengadil (VAR) selepas penyerang dari Sepanyol itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Yusri Che Lah berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fadzrul Danel pada minit ke-47.
Pemain naturalisasi negara, Josue hampir meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-54 selepas menerima hantaran daripada Ruiz namun dinafikan oleh Zarif.
Asakan bertali arus Imigresen FC membuahkan hasil apabila Eduardo Jose Sosa meledak gol kedua pasukan selepas sepakannya berjaya menerobos gawang pada minit ke-61.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Josue menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68 hasil rembatan daripada luar kotak penalti setelah menerima hantaran daripada Lambert Declan.
Pasukan pelawat terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemain tengah, Mior Dani Armin dilayangkan kad merah kerana mengasari Ruiz dua minit kemudian.
Penyerang KL City, Safawi kembali meletakkan pasukannya di depan selepas menjaringkan gol ketiga menggunakan kaki kirinya pada minit ke-76 berpunca daripada hantaran Kpah Sherman.
KL City menambah derita pelawat apabila pemain gantian, Sherman menjaringkan gol keempat pasukan menerusi tandukannya dua minit kemudian setelah menerima hantaran lambung daripada Safawi.
Beberapa pertukaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun keputusan kekal hingga tamat perlawanan. – UTUSAN










