KOTA BHARU: Kehilangan dua jentera di bahagian tengah menjadi punca Sabah FC tumpas 2-3 kepada Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Dalam aksi berkenaan, skuad Sang Badak turun tanpa khidmat Gary Steven Robbat yang berdepan masalah kecederaan dan Stuart Wilkin yang kembali semula ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengendali Sabah, Alto Linus berkata, ketiadaan dua tonggak itu jelas memberi kesan besar kepada corak permainan The Rhinos apabila tidak seperti dirancang terutama pada separuh masa pertama.
“Jaringan gol awal oleh Kelantan TRW sebenarnya membunuh momentum kami dan apabila bolos tiga gol pada separuh masa pertama, jelas banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, Pengendali Kelantan TRW Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan kemenangan keatas Sabah FC bukan mudah buat pasukannya yang berada pada tahap terendah selepas mengalami enam kekalahan di pentas Liga Super dan satu kekalahan dalam saingan Piala FA.
Menurutnya, barisan pemain Kelantan TRW berjaya mempersembahkan corak permainan yang amat diperlukan oleh pasukan, serta telah bermain dengan sepenuh hati dan jiwa mereka.
“Tabik hormat saya berikan kepada semua pemain. Mereka masuk ke padang dan melupakan apa yang telah berlaku sebelum ini serta mempamerkan karakter masing-masing.
“Saya harap kemenangan ini dapat menjadi pemangkin semangat sebagai bekal untuk berdepan Selangor FC dalam kempen Piala Malaysia nanti dan terus memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” ujarnya.-UTUSAN










