PETALING JAYA: Lambat menyesuaikan diri dalam gelanggang menjadi punca Aaron Chia-Soh Wooi Yik gegal mara ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka India, 2026, kelmarin.
Beregu No.2 dunia itu tunduk kepada wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 10-21, 21-13, 11-21, sekali gus membuka laluan kepada lawan menyamakan rekod pertemuan 1-1.
Atas kertas, Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara Terbuka Malaysia, minggu lalu dijangka mudah mara ke final, namun lambat menyesuaikan diri di gelanggang meranapkan impian itu.
Wooi Yik mengakui situasi perlawanan kelmarin, menjadi sukar apabila bulu tangkis yang pantas dan angin menyebabkan mereka lambat menyesuaikan diri.
“Saya rasa situasi aksi separuh akhir sangat berlainan. Bulu tangkis amat laju dan agak berangin jadi kami lambat untuk menyesuaikan diri,” kata Wooi Yik.
Sementara itu, Aaron pula percaya keyakinan mereka masih ada di gelanggang, tetapi banyak kesilapan sendiri menyebabkan mereka tewas.
“Saya rasa keyakinan kami dalam gelanggang itu ada. Cuma banyak kesilapan mudah yang kami lakukan. Kamu boleh tengok skor itu. Saya rasa semuanya kesilapan kami,” kata Aaron.
Kegagalan Aaron-Wooi Yik bermakna tiada wakil Malaysia menjejakkan kaki ke final kejohanan bertaraf Super 750 itu, selepas beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut tersingkir di separuh akhir kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto
Fokus kedua-dua beregu itu kini beralih kepada Indonesia Masters, esok, yang mana mereka diletakkan sebagai pilihan utama dengan Aaron-Wooi Yik bakal menentang beregu No. 28 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark manakala Pearly-Thinaah akan bersaing bersama beregu ke-36 dunia, Francesca Corbett-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.- UTUSAN










