KECEDERAAN dalam sukan muay thai adalah perkara biasa dan sesekali tidak mematahkan semangat atlet negara, Insyad Rumijam dalam memburu kejuaraan.
Menurut Insyad, kecederaan yang tidak boleh dilupakannya ialah ketika beraksi di final Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember lalu yang menjejaskan impian emasnya.
Di pentas Sukan SEA 2025, Insyad turun ke perlawanan akhir bukan dalam keadaan sempurna, namun cukup dengan semangat dan disiplin yang dibina sejak kecil.
Bagi atlet muay thai negara itu, penyertaan di temasya terbesar Asia Tenggara tersebut menjadi dugaan sebenar antara kemampuan fizikal dan kekuatan mental.
“Untuk perlawanan terakhir, saya terpaksa bermain secara selamat kerana kaki terseliuh sejak ketika aksi separuh akhir. Jarak antara dua acara pula cuma sehari sahaja.
“Kaki saya tidak sempat untuk pulih sepenuhnya, hanya tuam ais dan dapatkan rawatan daripada Insitut Sukan Negara (ISN),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi detik perit itu, Insyad akur dengan ketentuan yang menempatkannya di tempat kedua meskipun hasrat untuk menggenggam pingat emas tidak tercapai.
Biarpun dibelenggu kecederaan beberapa kali termasuk ketika terkandas di suku akhir Sukan SEA 2023, kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya, malah menguatkan tekad untuk terus menempa nama dalam arena sukan itu.
Penglibatan atlet kelahiran Selangor dalam sukan berkenaan bermula apabila abang sulung, Fakhrurrozi Rumijam yang menyertai muay thai pada usia 17 tahun.
Sejak itu, minatnya hadir secara semula jadi dengan adik-beradik lain turut mengikut jejak langkah yang sama.
Lebih istimewa, abang sulungnya kini bukan sekadar sumber inspirasi, malah berperanan sebagai jurulatih yang sentiasa membimbingnya.
Sepanjang berkecimpung, Insyad berjaya meraih pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2019 di Turki pada usia 13 tahun, diikuti pingat perak Kejohanan Remaja Dunia 2021 di Bangkok.
Di peringkat kebangsaan, Insyad mencipta nama apabila memenangi emas SUKMA 2022 dan mempertahankan kedudukannya pada SUKMA 2024.
Dalam arena muay thai, Insyad tidak menafikan pencabar paling kuat pernah dihadapinya adalah juara Kejohanan Remaja Dunia 2022 dari Thailand yang pernah menewaskannya 3-0, walaupun hampir setara dari segi fizikal.
“Walaupun tewas, saya anggap diri saya bertuah kerana berpeluang beraksi menentangnya, memandangkan beliau merupakan atlet No.1 Thaiiland dalam kategori berat sama,” katanya.
Kata anak bongsu daripada lima beradik itu, muay thai bukan sekadar sukan tempur, sebaliknya menjadi terapi dalam kehidupannya dan apabila tubuh berada dalam keadaan sihat, minda turut menjadi lebih positif.
“Sebagai seorang pelajar, ada masanya saya juga tertekan cuba untuk mengimbangi pelajaran dan kerjaya sebagai atlet, terutama apabila jadual padat.
“Sesi latihan banyak membantu saya untuk lepaskan tekanan kerana rasa lebih cergas dan mudah menumpukan perhatian untuk belajar selepas berlatih. Itu cara saya secara peribadi,” katanya.
Kini berusia 20 tahun, Insyad menyambung pengajian dalam Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Waktu pagi digunakan untuk menumpukan pengajian, manakala malam dimanfaatkan untuk latihan yang lebih mencabar, mengutamakan ketahanan fizikal, kekuatan dan kepantasan.
Mengulas perancangan akan datang, Insyad mahu terus beraksi di Sukan SEA 2027 dan pingat emas kekal menjadi buruan.
“Negara kita dijangka menjadi tuan rumah, jadi saya mahu rebut peluang untuk buktikan bakat atlet tempatan di pentas antarabangsa.
“Tak dinafikan juga saya mahu menebus kekalahan pada final sebelum ini. Temasya itu akan jadi medium untuk saya perbaiki rekod di gelanggang,” katanya.










