MUNICH: Harry Kane membuktikan diri memiliki penyudah berbisa apabila meledak dua gol dalam tempoh tiga minit ketika Bayern Munich menewaskan Union Saint-Gilloise 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), semalam.
Kejayaan tersebut menyaksikan Bayern mengesahkan kedudukan dalam kelompok lapan teratas carta liga membabitkan 36 pasukan, sekali gus mara secara automatik ke pusingan 16.
Juara Eropah enam kali itu kini berada di tangga kedua di belakang Arsenal menjelang perlawanan terakhir fasa liga menentang PSV Eindhoven minggu hadapan.
Kane membuka tirai jaringan menerusi tandukan kemas hasil sepakan sudut sebelum memenangi sepakan penalti yang disudahkan sendiri untuk memastikan Bayern keluar padang sebagai pemenang.
Penyerang England itu hampir melengkapkan hatrik, namun gagal menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan selepas Bayern terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan pertahanan tengah, Kim Min-jae, dilayangkan kad kuning kedua.
“Memasuki babak kedua, kami mahu meningkatkan intensiti dan saya rasa kami menjalankan tugas masing-masing dengan baik.
“Kami menjaringkan gol pada masa yang tepat. Walaupun sedikit malang susulan kad merah tetapi kami masih mampu mengawal permainan dan meraih tiga mata,” kata Kane.
Kekalahan kepada Arsenal kekal sebagai satu-satunya kekalahan Bayern dalam semua kejohanan musim ini, dengan pasukan kendalian Vincent Kompany itu turut mendahului Bundesliga dengan kelebihan 11 mata.
Gol kedua Kane menyaksikan penyerang berusia 31 tahun itu kini mengumpul 34 jaringan musim ini, manakala Bayern telah menjaringkan keseluruhan 103 gol daripada 29 perlawanan dalam semua kejohanan.
Bagaimanapun, Bayern dilihat bergelut pada babak pertama, dipercayai berpunca daripada ketiadaan sokongan padu penyokong selepas bahagian bawah stadium ditutup susulan hukuman Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana penggunaan suar sehingga mengeluarkan asap tebal.
“Kami pernah melalui situasi sama ketika tempoh Covid-19, namun kami sentiasa mengharapkan sokongan penuh penyokong di stadium. Malangnya, ia tidak berlaku malam ini,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer.-AGENSI










