PETALING JAYA: Pasukan dari Sepanyol dikirimkan ke Malaysia untuk membantu pelumba negara, Hakim Danish Ramli menjalani latihan intensif menjelang penampilan sulungnya sebagai pelumba tetap pada Kejuaraan Motosikal Dunia bagi musim 2026.
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, Hakim Danish menjalani latihan dengan sangat baik untuk dua bulan terakhir menggunakan fasiliti di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Latihan itu dilaksanakan bersama dengan barisan kejurulatihan dari Sepanyol dan juga sudah tentu saya turut terlibat sama.
“Sejak tiga minggu terakhir ini, kita ada kumpulan dari Sepanyol yang datang bersama dengan pelumba mereka untuk memberi latihan yang lebih kompetitif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Hakim Danish yang akan beraksi dalam kelas Moto3, mewakili pasukan berpangkalan di Sepanyol, FRINSA-MT Helmets-MSI Team.
Anak jati Terengganu itu yang mengisi tempat ditinggalkan naib juara dunia Moto3, musim lalu, Angel Piqueras bakal bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka menjelang musim baharu yang membuka tirai pada 27 Februari hingga 1 Mac depan di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Zulfahmi melahirkan keyakinan terhadap persediaan yang dilakukan pelumba muda tersebut yang mempamerkan peningkatan dalam sesi latihannya.
“Saya yakin kita sudah bagi yang terbaik dan Hakim Danish juga menunjukkan kemajuan prestasi tahun ini dan selepas ini, dia akan terbang ke Eropah pada 2 Februari,” katanya.
Menurut beliau, Hakim Danish akan menjalani sesi ujian di Portimao, Portugal pada hujung minggu depan bagi menyesuaikan diri dengan jentera Moto3 yang bakal dipacunya, musim ini.
Hakim Danish, 18, merupakan pelumba Malaysia pertama yang berjaya meraih kedudukan ketiga pada Piala Red Bull MotoGP Rookies 2025 dan turut menamatkan aksinya di kedudukan ke-8 pada Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.-UTUSAN










