KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Leong Jun Hao berjaya membuat Axiata Arena gegak gempita selepas membenam wakil China, Wang Zheng Xing pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, hari ini.
Anak jati Kuala Lumpur yang menghuni ranking No. 28 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-17, 21-17 dalam masa 48 minit ke atas pemain yang berada di tangga ke-29 dunia.
Kejayaan tersebut meletakkan Jun Hao mendahului 1-0, selepas Terbuka Malaysia menjadi pentas sulung buat kedua-dua pemain bertembung buat pertama kali di peringkat antarabangsa.
Kemenangan Jun Hao itu amat bererti buat peminat badminton tanah air selepas kecewa menyaksikan pemain kesayangan mereka, Lee Zii Jia terkandas seawal pusingan pertama, semalam.
Kemaraan Jun Hao sekurang-kurangnya mengubat duka tersebut apabila pemain berusia 26 tahun itu menjadi wakil tunggal Malaysia yang meneruskan kemaraan ke pusingan kedua bagi sektor perseorangan lelaki.
Pada pusingan 16 terbaik, esok, Jun Hao dijangka berdepan sama ada pemain Taiwan, Lee Chia Hao atau bintang handalan Indonesia, Jonatan Christie.
Jika Jonatan menjadi lawannya, rekod pertemuan 3-2 yang berpihak kepada Jun Hao dengan kejutan yang dilakar pada Terbuka Singapura, tahun lalu menjadi azimat buat wakil Malaysia itu untuk sekali lagi memburu kemenangan atas pemain Indonesia tersebut.
Seandainya, Chia Hao yang menanti, rekod pertemuan kedua-dua pemain terikat 3-3, namun, kali terakhir mereka bertemu pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Selangor, dua tahun lalu, kemenangan berpihak kepada Jun Hao. – UTUSAN










