LONDON: Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton tersenarai dalam 100 atlet dengan pendapatan tertinggi 2025 oleh Sportico bersama tiga lagi pemandu Formula Satu (F1).
Juara dunia tujuh kali itu berada di kedudukan ke-11 dan merupakan pelumba F1 dengan ranking tertinggi, walaupun berdepan masalah prestasi pada musim pertama bersama Ferrari.
Menurut Sportico, jumlah pendapatan keseluruhan Hamilton pada 2025 mencecah AS$100 juta (RM405 juta) dan jumlah itu terdiri daripada AS$70 juta (RM284 juta) hasil gaji dan kemenangan perlumbaan serta tambahan AS$30 juta (RM121 juta) daripada penajaan.
Juara dunia empat kali Red Bull, Max Verstappen berada di kedudukan ke-15 dengan jumlah pendapatan AS$83 juta (RM336 juta), di mana AS$75 juta (RM304 juta) datang daripada gaji dan kemenangan, manakala baki AS$8 juta (RM32 juta) daripada penajaan.
Juara dunia F1, Lando Norris berada di kedudukan ke-32 selepas pelumba Britain itu dilaporkan memperoleh AS$54 juta (RM219 juta) daripada gaji dan kemenangan serta AS$5 juta (RM20 juta) daripada penajaan.
Rakan sepasukan Norris di McLaren, Oscar Piastri berada di kedudukan ke-96 dalam senarai tersebut dengan jumlah pendapatan AS$38 juta (RM154 juta), selepas menamatkan musim 2025 di tempat ketiga keseluruhan.
Sportico menyatakan bahawa senarai tersebut berdasarkan anggaran pendapatan sepanjang tahun 2025, dengan gaji dan wang hadiah termasuk semua bonus yang dibayar dalam tempoh tersebut, termasuk bayaran menandatangani kontrak, insentif, aksi play-off dan bayaran perlawanan All-Star.
Pendapatan penajaan pula merangkumi hasil daripada tajaan, pelesenan, royalti, barangan cederamata, penampilan, reka bentuk padang golf, media dan perjanjian buku.
Pemain bola sepak Cristiano Ronaldo mendahului senarai bagi 2025, dengan gaji dan kemenangan dilaporkan sebanyak AS$200 juta (RM811 juta) serta AS$60 juta (RM243 juta) daripada penajaan. – AGENSI










