PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja penurapan jalan secara menyeluruh di kesemua 51 lokasi Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seliaannya di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerja penurapan jalan telah siap dilaksanakan di tujuh lokasi bagi suku pertama tahun ini.
“Antara kawasan PA dan PPR yang terlibat ialah PPR Beringin, PPR Wahyu, PPR Gombak Setia, PPR Hiliran Ampang, PPR Air Panas, PA Hang Tuah dan PA Seri Perlis 1.
“Manakala dua lokasi lagi sedang dalam pelaksanaan iaitu PPR Sungai Bonus dan PPR Seri Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan RM300 juta tahun ini khusus bagi kerja-kerja penyelenggaraan PA dan PPR termasuk penurapan jalan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dan DBKL untuk memastikan warga PA dan PPR dapat menikmati persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan berkualiti.
“Ia juga selaras dengan aspirasi meningkatkan kesejahteraan hidup warga Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN











