Guardiola kecewa, makin sukar kejar Arsenal

Guardiola kecewa, makin sukar kejar Arsenal

Pep Guardiola- afp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui usaha mengejar Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) makin sukar selepas mereka gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Anak buah Guardiola mensia-siakan peluang untuk menekan Arsenal apabila terikat 1-1 dengan Brighton di Stadium Etihad, semalam.

Erling Haaland menjaringkan gol ke-150 untuk City menerusi penalti lewat babak pertama, namun penyerang Norway itu gagal menyudahkan beberapa peluang penting, di samping Bernardo Silva dan Rayan Cherki yang turut membazirkan beberapa peluang.

Dibelenggu masalah kecederaan melibatkan beberapa pemain pertahanan, City dibolosi pada babak kedua menerusi gol pertama Kaoru Mitoma sejak September lalu, sekali gus memberi tamparan kepada harapan tuan rumah memburu gelaran EPL.

City yang berada di tangga kedua, kini lima mata di belakang Arsenal, yang berpeluang melebarkan jurang kepada lapan mata jika menewaskan Liverpool di Stadium Emirates.

Guardiola turut kecewa kerana City melepaskan peluang merapatkan jurang mata apabila Brighton menyertai Chelsea dan Sunderland dalam menyekat pasukannya daripada menang sepanjang tiga perlawanan terakhir.

“Sudah tentu, jika tidak menang perlawanan, kami tidak boleh memikirkan mengenai perkara itu (rebut kejuaraan EPL).

“Keputusan adalah keputusan. Saya bukan orang yang berasakan apa yang kami lakukan tidak adil. Satu mata untuk mereka, satu mata untuk kami. Itu sahaja.

“Saya suka cara kami bermain, banyak perkara baik sudah dilakukan, tetapi kami tidak menjaringkan gol. Terlalu banyak peluang jelas terlepas.

“Bukan hanya seorang atau dua pemain, semua pemain di depan mencipta banyak peluang. Malangnya, kami gagal menjaringkan gol dan menjaringkan gol adalah sebahagian daripada tugas. Itulah sebabnya kami gagal memenangi perlawanan,” kata Guardiola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN