PETALING JAYA: Selangor FC perlu berwaspada dengan peningkatan corak permainan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, anak buah Kim Pan Gon perlu berhati-hati kerana NSFC kini tampil dengan serangan balas pantas yang boleh menjerat Selangor FC.
Menurut Mahfizul, beliau yakin Pan Gon mempunyai perancangan terbaik untuk pasukan berdepan NSFC selepas pasukan mendapat tonik istimewa selepas menang ke atas DPMM FC dalam aksi terakhir.
“Selangor FC mahu meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Liga Super bagi memastikan pasukan sentiasa berada pada kedudukan terbaik dalam carta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mahfizul, meskipun kemasukan pemain import baharu memerlukan masa bagi memastikan keserasian dalam pasukan, Selangor FC tetap berusaha meneruskan positif.
“Kemasukan pemain import baru memerlukan masa untuk keserasian, namun itu bukan penghalang untuk kami meneruskan rentak positif,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfizul turut mengesahkan, Selangor FC bebas daripada sebrang kecederaan, sekali gus memiliki skuad terbaik untuk berdepan NSFC yang dikendalikan Mohd Nizam Jamil.
Untuk rekod, pertembungan pusingan pertama Liga Super menyaksikan skuad Gergasi Merah terpaksa akur tewas 2-3 kepada skuad Sang Rusa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.-UTUSAN










