KUALA LUMPUR: Beregu campuran No. 1 negara, Toh Ee Wei berharap mampu kembali mempamerkan aksi terbaik dalam Kejohanan Badminton Indonesia Masters, yang bermula esok.
Anak kelahiran Melaka itu berkata, kemerosotan prestasi pada permulaan musim 2026 secara tidak langsung mengganggu konsentrasinya, namun tetap fokus bagi mengharungi kejohanan akan datang.
“Sekarang saya main dengan positif sebab sudah lalui banyak masalah. Sukan ini istimewa sebab bukan saja pasal menang kejuaraan, tapi proses dan kemajuan itu.
“Walaupun sedih tak dapat apa yang kita nak, tapi kita bangun balik untuk latihan dan berjuang,” katanya.
Ee Wei dan pasangannya, Chen Tang Jie yang merupakan juara dunia terkandas di suku akhir pada Terbuka Malaysia, dua minggu lalu dan di Terbuka India, minggu lepas pula mereka tersingkir seawal pusingan pertama.
Esok, beregu campuran No. 3 dunia itu akan kembali ke gelanggang bagi menyertai Indonesia Masters dan akan membuka aksi mereka di Jakarta berdepan pencabar dari pusingan kelayakan.
Mengulas mengenai perbandingan prestasinya ketika merangkul gelaran dunia di Paris, Perancis, tahun lepas, Ee Wei mengakui, dia perlu mencari rentak itu kembali dan isu konsisten merupakan perkara biasa dialami seseorang atlet.
“Saya rasa mesti cari balik rentak itu. Bukan sentiasa kita boleh berada di prestasi terbaik. Apa yang penting ialah kemajuan.
“Kejuaraan dunia itu satu tahap yang tinggi dan luar jangkaan, saya masih perlu belajar daripada pemain-pemain terbaik. Harap di Indonesia Masters dapat balik keyakinan dan rentak permainan,” katanya.-UTUSAN










