PETALING JAYA: Sebagai beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei seharusnya mampu melepasi halangan suku akhir pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Juara dunia itu mengesahkan slot lapan terbaik menjadi milik mereka selepas membenam pasangan ke-33 dunia, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 21-12, 21-18 dalam masa 35 minit di pusingan kedua, semalam.
Selepas dua kejohanan untuk musim 2026, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan prestasi hambar dan beregu No. 1 negara itu berhajat menjadikan Indonesia Masters sebagai medan kebangkitan.
Pada suku akhir, hari ini, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan beregu gabungan dua negara iaitu Singapura dan Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja.
Beregu itu merupakan gandingan yang baru beraksi bersama tahun ini selepas Terry berpisah dengan Jin Yu Jia, manakala, Gloria tidak lagi beraksi bersama Aquino Evano Keneddy Tangka.
Memandangkan Terry-Gloria merupakan pasangan baharu, maka, Tang Jie-Ee Wei belum pernah bertemu dengan mereka.
Ketiadaan data untuk dirujuk, beregu negara itu perlu berhati-hati kerana, semalam, gandingan No. 12 dunia, Jasper Toft-Amalie Magelund dari Denmark menjadi mangsa kejutan apabila tewas kepada Terry-Gloria 12-21, 21-16, 14-21 dalam masa 51 minit.
Namun, selaku juara dunia dan menghuni ranking No. 4 dunia, Tang Jie-Ee Wei seharusnya sudah cukup arif berdepan gandingan pecah ganding bagi mengelak kejutan tidak diingini berlaku.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa wakil perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia yang terpaksa akur kepada Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand 21-15, 17-21, 8-21 dalam masa 57 minit.
Beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong turut kecundang selepas mereka tunduk kepada gandingan tuan rumah yang menghuni ranking No. 7 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-19, 16-21, 17-21 dalam masa 56 minit.
ends.
KAPSYEN: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu lepasi peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.










