Boulbina wira Algeria, Diallo cemerlang bantu Ivory Coast

Boulbina wira Algeria, Diallo cemerlang bantu Ivory Coast

ADIL Boulbina meledak gol kemenangan Algeria untuk mara kesuku akhir AFCON-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Jaringan menarik pemain gantian, Adil Boulbina pada masa tambahan memuktamadkan aksi sengit ketika Algeria menewaskan Republik Demokratik Congo 1-0 dalam aksi pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), semalam.

Perlawanan di Stadium Moulay El Hassan hampir berakhir dengan penentuan sepakan penalti sebelum Boulbina meledak pada minit ke-119 menerusi rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan, Lionel Mpasi.

Detik itu mencetuskan sorakan gemuruh di dalam stadium, dengan majoriti 18,837 penonton yang hadir memberikan sokongan padu kepada Algeria.

Juara 2019 itu, yang memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan, kini dilihat sebagai antara pencabar utama untuk menjulang kejuaraan benua buat kali ketiga.

Bagaimanapun, mereka bakal berdepan ujian getir dalam aksi suku akhir menentang Nigeria yang diketuai Victor Osimhen di Marrakesh, Ahad ini.

“Saya sentiasa bermimpi untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Ia adalah cita-cita setiap rakyat Algeria untuk bermain untuk negara dan melakukan yang terbaik.

“Saya mendapat peluang dan berjaya menjaringkan gol. Paling penting, kami menang dan layak ke pusingan seterusnya,” kata Boulbina yang tidak dapat menahan air mata selepas perlawanan.

Sementara itu, pemain sayap Manchester United, Amad Diallo, mencuri tumpuan ketika Ivory Coast menewaskan Burkina Faso 3-0 dan muncul juara bertahan AFCON pertama yang mara ke suku akhir sejak 2010.

Diallo meledak gol pembukaan dan mencipta gol kedua untuk Yan Diomande sebelum rehat dan Bazoumana Toure, melengkapkan kemenangan bergaya itu.

“Kami berjuang sebagai satu pasukan. Semua pemain fokus untuk menyumbang dengan apa cara sekalipun. Kami juga mempunyai keserasian yang sangat baik di atas padang, keakraban yang menjadikan permainan kami lebih lancar.

“Terdapat hubungan yang tulen. Tiada siapa cuba menjadi wira atau mahu menyerlah secara individu untuk negara.

“Jika saya ada peluang untuk membuat hantaran, saya akan lakukannya. Ia berlaku secara naluri. Saya berikan bola kepada rakan sepasukan. Itulah cara kami bermain,” kata Diallo.

Ivory Coast kini akan berkunjung ke selatan bandar pesisir pantai Maghribi, Agadir, untuk berdepan juara tujuh kali, Mesir, pada Ahad ini bagi merebut tiket ke separuh akhir.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN