Beri peluang individu lebih layak

Beri peluang individu lebih layak

Barisan Exco FAM telah meletak jawatan pada Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberi peluang kepada individu yang lebih segar, progresif dan berwawasan dalam memimpin badan induk itu.

Pemerhati bola sepak tempatan,Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang melepaskan jawatan sebelum ini tidak wajar bertanding semula.

Menurut Zulakbal, langkah bekas Exco untuk kembali bertanding berpotensi menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan peminat selepas episod hitam melanda bola sepak negara.

“Kalau sudah letak jawatan atas dasar rasa bertanggungjawab terhadap kesilapan lalu, maka berilah ruang kepada bakat baharu untuk memimpin FAM dengan cara yang lebih dinamik dan inovatif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulakbal turut menambah bahawa tindakan meletak jawatan sepatutnya diikuti dengan usaha membina semula badan induk bola sepak negara dengan kepimpinan yang baru, bagi mengembalikan kegemilangan dan reputasi FAM di peringkat antarabangsa.

“Kita memang tak boleh nafikan hak sesiapa pun, walaupun dia Exco lama dan pernah memegang tampuk kepimpinan dan nak bertanding untuk kongres yang baru nanti, kita tak boleh halang.

“Tetapi, ia akan menjadi ‘momokan’ orang ramai apabila Exco yang sudah letak jawatan, kemudian datang balik bertanding untuk jawatan baru,” katanya.

Mengenai campur tangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam urusan FAM, beliau berpendapat penglibatan badan itu adalah langkah positif untuk memastikan perjalanan skuad Harimau Malaya dan saingan Liga Malaysia berjalan lancar tanpa gangguan.

“Individu yang mengendalikan urusan ini di AFC tentunya mahir dan berpengalaman dalam selok-belok bola sepak. Ini peluang terbaik untuk Malaysia menimba ilmu dan memperbaiki pengurusan bola sepak negara,” katanya optimis.

Sebelum ini, Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad menegaskan, badan induk itu tidak mempunyai pilihan lain selain melakukan rombakan kepemimpinan secara menyeluruh jika mahu melihat bola sepak negara diselamatkan daripada terus tenggelam.

Katanya, perubahan separuh masak atau kosmetik tidak lagi relevan, sebaliknya FAM perlu berani ‘mengosongkan’ struktur sedia ada dan membina semula kepimpinan yang benar-benar berwibawa bagi mengembalikan kepercayaan awam serta hala tuju bola sepak negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN