Barcelona mudah ke final Piala Super Sepanyol

Barcelona mudah ke final Piala Super Sepanyol

Raphinha (kanan) menjadi watak penting membawa Barcelona mara ke final Piala Super Sepanyol.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Raphinha muncul wira apabila meledak dua gol dalam kemenangan besar 5-0 ke atas Athletic Bilbao untuk mengesahkan kemaraan Barcelona ke final Piala Super Sepanyol, semalam.

Juara bertahan dan pemegang rekod 15 kali kejuaraan itu, akan menentang pemenang dalam satu lagi aksi separuh akhir antara Real Madrid atau Atletico Madrid pada aksi final yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Pengendali Barcelona, Hansi Flick menyimpan bintang muda sensasi, Lamine Yamal di bangku simpanan, namun keputusan itu langsung tidak menjejaskan rentak permainan pasukannya di Stadium King Abdullah Sports City.

Raphinha yang kembali daripada kecederaan hamstring selepas hampir dua bulan berehat mempamerkan aksi cemerlang namun mengakui dirinya masih belum berada di tahap terbaik.
Jelasnya, pasukan sendiri yang menentukan sama ada perlawanan menjadi mudah atau sukar, selain semua bahagian perlu memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin.

“Saya sentiasa mahu berada di tahap terbaik dan saya tidak akan pernah kata saya sudah berada di tahap terbaik.

“Kami sendiri yang jadikan perlawanan mudah atau sukar. Apabila kami bermain baik, buat perkara betul, pertahankan dengan baik, menyerang dengan baik, perlawanan jadi lebih mudah,” kata Raphinha.

Barcelona membuka tirai jaringan menerusi Ferran Torres pada minit ke-22 selepas sepakan Fermin Lopez yang tersasar jatuh tepat di kakinya sebelum disudahkan dengan tenang.

Raphinha kemudian mencipta gerakan gol kedua untuk Lopez sebelum Roony Bardghji menambah gol ketiga selepas penjaga gol Athletic, Unai Simon gagal menyelamatkan rembatan rendah yang melepasi bawah badannya.

Pemain Brazil itu melengkapkan malam gemilangnya dengan dua gol lagi, termasuk satu sebaik babak kedua bermula, bagi memastikan kemenangan mutlak Barcelona dan tiket ke perlawanan akhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN