PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam momentum terbaik untuk layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Torun, Poland pada Mac depan.
Ini selepas atlet berusia 22 tahun itu mencatat masa 6.60 saat (s) untuk merangkul emas acara 60 meter (m) lelaki pada UAB Blazer Invitational di Birmingham, Alabama pada 9 Januari lalu, hanya 0.01s di belakang had kelayakan 6.59s.
Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil berkata, dengan tarikh tutup pada 8 Mac, Azeem masih kekal dalam persaingan kerana rekod cemerlangnya dalam acara dalam dewan menjadi kelebihan tersendiri.
“Dia memulakan musim dengan catatan 6.60s dan saya percaya dengan beberapa larian lagi dia boleh mencatat masa lebih pantas daripada itu, sekali gus melepas had masa kelayakan.
“Saya kurang pasti sama ada dia akan turun ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan. Ianya kerana program latihan telah dirancang oleh jurulatihnya, Ken Harnden.
“Kami serahkan kepada Ken untuk memberi fokus sama ada Azeem akan berlatih untuk Sukan Asia atau Kejohanan Dunia,” kata Manshahar kepada Utusan Malaysia.
Hanya 56 pelari teratas akan layak untuk acara 60m lelaki di Poland yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Mac ini.
Untuk rekod, pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu merupakan pemegang rekod kebangsaan 60m dengan catatan 6.56s yang dicatat pada Kejohanan Indoor Southeastern Conference di Alabama, tahun lalu.
Pemegang rekod kebangsaan 10.09s itu juga memenangi gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2023 selepas mencatat 10.11s dalam acara reben biru itu.-AGENSI










