Arteta kecewa barisan serangan tumpul

Arteta kecewa barisan serangan tumpul

Mikel Arteta
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOTTINGHAM: Ketumpulan jentera serangan menyebabkan Arsenal terikat tanpa jaringan ketika menentang Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris(EPL), semalam.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal kekal di puncak liga, namun gagal melebarkan jurang mata selepas pencabar Manchester City, tewas 0-2 kepada Manchester United.

Mikel Arteta mengakui pasukannya mencipta peluang yang mencukupi untuk membawa pulang tiga mata, namun ketumpulan di hadapan gawang menjadi penghalang utama.

“Kami datang dengan misi jelas untuk menang, tetapi kami tidak cukup kejam. Apabila anda memperoleh empat peluang besar dan gagal menyudahkannya, itu sukar diterima,” kata Arteta.

Katanya, percubaan Gabriel Martinelli, Declan Rice, Mikel Merino dan Bukayo Saka sepatutnya diterjemahkan kepada jaringan, namun The Gunners sekali lagi gagal menghasilkan percubaan tepat ke sasaran.

Pengendali Sepanyol itu turut menyentuh insiden lewat permainan apabila Arsenal mengharapkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Ola Aina, namun keputusan VAR memihak kepada Forest.

“Dalam perlawanan seperti ini, anda perlukan satu detik untuk mengubah keadaan. Kami ada situasi itu, tetapi gagal memanfaatkannya,” katanya.

Selepas perlawanan itu, Arsenal mengumpul 50 mata untuk mendahului liga, tujuh mata di hadapan Manchester City dan Aston Villa, manakala Forest kekal di tangga ke-17 dengan 22 mata, lima mata di atas zon penyingkiran.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN