LONDON: Mikel Arteta tetap yakin Arsenal berada di landasan terbaik memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPl) biarpun diikat tanpa jaringan oleh Liverpool di laman sendiri, semalam.
Menurut pengurus kelahiran Sepanyol itu, kejayaan mengekalkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana ketika ini membuktikan kekentalan prestasi anak buahnya di setiap posisi.
Selepas mengharungi jadual perayaan yang padat, Arsenal tercicir mata buat kali pertama sejak awal Disember, namun beruntung dengan prestasi tidak konsisten pencabar terdekat.
Arsenal melakar lima kemenangan berturut-turut sebelum ini dan kemerosotan prestasi Manchester City, memastikan mereka kekal mendahului liga dengan kelebihan enam mata.
“Setiap kali anda tidak menang, sudah tentu ia terasa seperti peluang yang terlepas.Namun saya amat berbangga dengan komitmen pemain sepanjang tempoh sukar ini.
“Dengan cabaran yang kami hadapi, mereka menunjukkan mentaliti luar biasa.Kami di posisi yang kukuh dan tugas kami adalah memastikan momentum ini diteruskan,” kata Arteta.
Liverpool, selaku juara bertahan, terus bergelut untuk merapatkan jurang apabila kekal 14 mata di belakang Arsenal.
Walaupun tidak tewas dalam 10 perlawanan terakhir, lima keputusan seri menyebabkan pasukan kendalian Arne Slot kekal di tangga keempat.
Pengurus Liverpool itu tidak terkejut dengan kemampuan pasukannya menguasai bola pada babak kedua menentang pendahulu liga, tetapi kecewa dengan masalah ketumpulan di jentera serangan.
“Dengan penguasaan bola sebanyak itu, anda mengharapkan lebih banyak peluang dicipta. Inilah siapa kami. Kami menguasai permainan tetapi masih bergelut dalam beberapa aspek.
“Situasi bola mati dan mencari hantaran tepat di sepertiga akhir, kami masih belum berada pada tahap beberapa pasukan lain,” kata Slot.- AGENSI










