VALENCIA: Alex Marquez mengakui dia dan abangnya, Marc Marquez menolak untuk gelaran ‘bersejarah’ biarpun mengakhiri perlumbaan MotoGP 2025 di kedudukan pertama dan kedua.
Adik-beradik kelahiran Sepanyol itu tidak mahu merujuk pencapaian 1-2 mereka dalam kejuaraan MotoGP 2025 sebagai sesuatu yang bersejarah dan perlu dikenang.
Musim lalu merupakan tahun yang cemerlang buat duo Marquez, selepas Marc mendominasi kempen bersama Ducati apabila memenangi 11 grand prix (GP), 14 kemenangan perlumbaan pecut dan kejuaraan dunia ketujuhnya.
Alex pula mencatat kemenangan sulungnya di Sepanyol dan menambah dua lagi kemenangan, sekali gus menamatkan musim di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan.
Itu menandakan kali pertama dalam sejarah MotoGP dua beradik menguasai dua kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia.
“‘Bersejarah’ adalah perkataan yang Marc dan saya telah memutuskan untuk tidak gunakan.
“Marc selalu berkata bahawa ‘bersejarah’ kedengaran seperti sesuatu yang sudah lama, sesuatu yang sudah menjadi milik masa lalu,” katanya.
Sebagai rekod, Marc terpaksa menamatkan musim lalu lebih awal selepas mengalami kecederaan tulang selangka ketika beraksi di GP Indonesia pada awal Oktober lalu, seminggu selepas dia muncul juara dunia di GP Jepun. – AGENSI










