PETALING JAYA: Acara pecut menjadi keutamaan Olahraga Malaysia (MA) dalam pencarian jurulatih olahraga baharu buat skuad kebangsaan.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, jurulatih pecut menjadi tumpuan untuk membimbing atlet 100 meter (m), 200m dan lagi berganti-ganti.
Bagaimanapun katanya, jurulatih acara padang juga tidak akan diketepikan memandangkan Malaysia mempunyai ramai atlet yang berpotensi tinggi.
“Larian berpagar, lompatan menegak dan mendatar, melempar (lontar peluru, lempar cakera, tukul besi dan merejam lembing) bagi kategori lelaki dan wanita.
“Larian jarak sederhana dan jauh. Ini cadangan (untuk pengambilan jurulatih asing), segalanya terpulang kepada MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya.
Untuk rekod, pada Sukan SEA Thailand 2025, skuad olahraga negara berjaya membawa pulang lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa.
Pingat emas negara disumbangkan menerusi Jonah Chang (lontar peluru), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Grace Wong (baling tukul besi) dan Nani Sahirah Maryata (lontar peluru).
Meskipun acara trek gagal menyumbang pingat emas, pencapaian atlet negara boleh dianggap memberangsangkan, khususnya jaguh pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Atlet berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan apabila memperbaiki catatan peribadi terbaik acara 100 meter (m) dengan masa 10.18 saat (s) ketika menjuarai saringan kedua.
Dia kemudian meraih pingat gangsa pada aksi final dengan catatan 10.26s selain turut memainkan peranan penting membantu kuartet 4x100m lelaki negara mencipta sejarah baharu apabila memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.03s untuk meraih pingat perak.-UTUSAN










