KUALA LUMPUR: Beregu No.1 negara Aaron Chia-Sooh Wooi Yik berada dalam kelas tersendiri berbanding beregu-beregu lelaki yang lain dan mereka membuktikannya pada Terbuka Malaysia 2026 apabila menjadi wakil tunggal negara pada pentas final.
Pengarah kejurulatihan beregu badminton kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, Malaysia mempunyai banyak pasangan beregu lelaki, tetapi pengalaman yang dimiliki pasangan No. 2 dunia itu memisahkan mereka dengan gandingan yang lain.
“Kita memang mempunyai beregu yang banyak, tapi, gandingan antara Aaron-Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun ini bukan satu tahap yang kita bilang jurangnya rapat. Kita bicara tentang pengalaman, Aaron-Wooi Yik masih di atas, Man-Tee masih kurang percaya diri sendiri.
“Kita juga boleh lihat pengalaman yang perlu dipelajari oleh pemain-pemain kita khususnya macam Hon Jian-Haikal, Arif-Roy ataupun beregu-beregu muda yang lain, kita harapkan mereka jangan cuma belajar daripada permainan, tetapi bagaimana hendak mengendalikan situasi,” katanya.
Pengendali kelahiran Indonesia mengulas mengenai prestasi keseluruhan sektor beregu yang berkesudahan hanya Aaron-Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000.
Rexy berkata, memiliki beregu yang banyak tidak semestinya mereka mampu melangkah lebih jauh kerana kejohanan Super 1,000 turut disertai gandingan handalan dunia dari negara-negara luar.
Mengulas kekalahan Aaron-Wooi Yik kepada beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada final, beliau menjelaskan, jika dinilai dari segi permainan kedua-dua beregu adalah yang terbaik, tetapi pasangan Korea Selatan bijak mengurus tekanan.
“Kalau dari segi keyakinan, beregu Korea memang memiliki pengalaman yang lebih, contoh set ketiga ketika Aaron-Wooi Yik ketinggalan 18-19, selain tuah, mereka ada ketenangan, Seo (Won Ho) ‘mastermind’, ini yang membuat perbezaan dan kesilapan dia juga minimum,” ujarnya.
Ditanya mengenai beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah, menurut Rexy, persaingan gandingan itu hadapi ialah tentang isu kecergasan kerana sesiapa sahaja yang lebih baik, maka, beregu berkenaan yang akan muncul sebagai pemenang.
Berhubung juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula, beliau berkata, beregu campuran No. 4 dunia itu perlu lebih matang dalam mengendalikan apa sahaja situasi yang mereka hadapi.
“Apabila kita berbicara tentang beregu, sangat bahaya kalau hanya seorang yang terlalu banyak mengeluarkan arahan, contoh jika Ee Wei mahu di depan Tang Jie kurang senang, begitu juga sebaliknya, jadi, kekurangan itu harus diperbaiki,” katanya.-UTUSAN










