BANGKOK: Temasya Sukan SEA Thailand 2025 secara rasminya melabuhkan tirai malam ini dengan Malaysia melakar pencapaian cemerlang, namun menerima tanggungjawab besar sebagai tuan rumah bagi edisi 2027.
Simbolik penyerahan tugas itu berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional Rajamangala, disaksikan ribuan penonton dan atlet dari rantau Asia Tenggara sejurus api hijau temasya dipadamkan.
Dalam penutupan penuh tradisi itu, bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) diturunkan sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Penyerahan bendera itu menandakan bermulanya persiapan Malaysia untuk menggalas tugas selaku tuan rumah temasya dwitahunan edisi ke-34 dua tahun lagi.
Meskipun Thailand mengadakan temasya edisi ke-33 tersebut dengan penuh cabaran selepas wilayah Songkhla dilanda banjir, namun pasukan tuan rumah memastikan temasya dwitahunan itu diadakan diadakan mengikut masa ditetapkan.
Majlis dimulakan dengan segmen ‘The Sound of Whistle’’, menampilkan penyanyi bintang T-POP, Daou dan Kratae, mendendangkan lagu ikonik Thailand, ‘Rak Nak Naen’, yang digubah semula bagi mencerminkan semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan.
Majlis penutupan Sukan SEA Thailand 2025 turut disajikan dengan perarakan kontinjen negara terdiri daripada 80 atlet dan pegawai, termasuk kehadiran kapten sepak takraw negara, Farhan Adam yang diberikan penghormatan membawa Jalur Gemilang.
Menambah seri kepada upacara penyerahan tersebut, Malaysia mempersembahkan segmen kebudayaan khas bertajuk ‘Rhythm of Harmony’.
Persembahan bertenaga yang menampilkan artis tempatan, Mimi Fly diiringi 60 penari itu memukau penonton di stadium dengan mempamerkan kepelbagaian budaya serta keharmonian Malaysia, memberi gambaran awal kemeriahan yang bakal disajikan pada 2027 nanti.
Tuan rumah Thailand menutup kempen dengan cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas skuad Gajah Perang mendominasi carta pingat dengan kutipan 233 emas, 154 perak dan 112 gangsa.-UTUSAN










