SANTIAGO: Bekas bintang Jelajah PGA, Mito Pereira, mengejutkan dunia golf dengan mengumumkan persaraan pada usia 30 tahun selepas meninggalkan LIV Golf hujung musim 2025.
Pemain Chile itu, hampir menjuarai Kejohanan PGA 2022 sebelum membuat keputusan untuk menyertai liga kontroversi itu dan kini memilih untuk menumpukan perhatian kepada kehidupan peribadi.
Dalam kenyataan rasmi melalui bekas pasukannya, Torque GC, Pereira berkata golf telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan serta membentuk dirinya dari segi profesional dan peribadi.
“Selepas bertahun-tahun terikat dengan sukan ini, keutamaan saya berubah, dan hari ini saya mahu pulang ke Chile serta menikmati masa bersama keluarga,” katanya.
Pereira mengimbau pengalaman manisnya termasuk tiga kemenangan dalam Jelajah Korn Ferry yang membawanya ke Jelajah PGA serta pengalamannya bersama LIV Golf dan Torque GC.
Dia turut mengenang detik mendebarkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menamatkan tempat ketiga bersama, namun terlepas pingat gangsa selepas playoff tujuh penjuru.
“Banyak tahun saya menghabiskan masa jauh dari rumah, tinggal di hotel dan lapangan terbang, kini tiba masa untuk berhenti seketika dan menumpukan pada keluarga,” jelasnya.
Bekas pemain Jelajah PGA itu menegaskan golf mengajarnya ketabahan, disiplin dan sasaran hidup, dan beliau kini bersedia untuk membuka bab baharu dengan penuh tenang dan motivasi. – AGENSI










