CYBERJAYA: Persatuan Pegimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) tampil membantu bekas-bekas atlet kebangsaan menerusi kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, bantuan berkenaan disalurkan bagi menyahut seruan tanggungjawab sosial korporat (CSR) persatuan bagi membantu golongan yang memerlukan
“Kami mengambil kesempatan untuk melakukan sumbangan buat bekas-bekas atlet, hari ini kami telah mengenal pasti 10 bekas atlet yang memerlukan bantuan.
“Bantuan yang kami berikan adalah sebanyak RM3000 setiap seorang, apabila membantu kami berharap mampu meringankan beban mereka yang mungkin mempunyai masalah kesihatan.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Go Green Charity edisi kedua melibatkan hampir 700 penyertaan bagi dua kategori 5km (kilometer) dan 10 km, selain tema pakaian kostum turut menjadi tumpuan.

Menurut Mohamed Nazari, Go Green Run tahun ini amat meriah dan penyertaan jauh lebih baik daripada tahun pertama.
“Acara yang berlangsung di Wisma Yayasan PEKEMA ini meneruskan matlamat mempromosikan gaya hidup sihat, kesedaran kelestarian alam sekitar serta memupuk solidariti masyarakat pelbagai peringkat termasuk ahli PEKEMA, agensi kerajaan, rakan korporat, institusi perbankan, golongan asnaf dan komuniti orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Selan itu, Mohamed Nazari turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Muda PEKEMA (DMP) atas komitmen dan peranan besar dalam memastikan kelancaran penganjuran edisi kedua ini.
“Sambutan memberangsangkan tahun lalu menjadi pemangkin kepada penganjuran tahun ini. Istimewanya, kita turut memberi pengiktirafan kepada bekas atlet negara sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka. PEKEMA akan terus memperkukuh usaha kelestarian serta kebajikan komuniti,” katanya.-UTUSAN









