BANGKOK: Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar melengkapkan hari gemilang kem muay thai Malaysia selepas menghadiahkan emas ketiga dalam sukan itu di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Muhammad Mikail atau lebih popular dengan gelaran Miki dalam kalangan peminat muay thai menampilkan penguasaan penuh untuk menewaskan atlet tuan rumah, Sirilun Suphakon dengan kiraan 29-28..
Lebih manis, kejayaan Miki turut ditemani oleh abangnya Johan Ghazali atau Jojo yang bertindak selaku ‘jurulatih’ untuk memberi semangat dan juga taktikal untuk berdepan lawan yang mendapat sokongan ribuan penyokong.
Miki ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur perancangan untuk beraksi di pentas final berjalan dengan lancar dan kemenangan berpihak kepadanya untuk menghadiahkan emas kepada negara.
“Alhamdulillah saya bangga, semua berjalan dengan lancar, semua bagus,” katanya yang kelihatan sebak selepas diumumkan sebagai pemenang kategori bawah 57 kilogram (kg).-UTUSAN










