VALENCIA: Juara dunia MotoGP tujuh kali, Marc Marquez mengakui dia kini dalam fasa melupakan persengketaannya dengan Valentino Rossi.
Hubungan pelumba pelumba berusia 32 tahun itu dengan Rossi yang juga juara dunia sembilan kali retak sejak 2015 dan perselisihan itu kembali menjadi sebutan ketika ini.
Dalam wawancara bersama El Periodico, Marquez menyentuh mengenai perseteruan itu, namun kali ini dia mengambil langkah untuk menamatkannya.
“Salah satu perkara yang saya pelajari sepanjang kerjaya perlumbaan saya ialah untuk menghormati pesaing saya.
“Di atas litar, semua orang cuba melakukan yang terbaik dan sebarang situasi atau kemalangan yang anda atau orang lain sebabkan adalah tidak disengajakan kerana kami semua menolak diri ke tahap maksimum.
“Para peminat menghargai aksi ini tetapi ia mempunyai risikonya. Banyak kali seorang pelumba dengan adrenalin yang memuncak, membuat kesilapan, dikenakan penalti dan itu sahaja.
“Salah satu perkara yang saya pelajari ialah sukar untuk hidup dengan rasa dendam, ia tidak mungkin,” katanya.
Permusuhan antara Marquez dan Rossi masih mencetuskan reaksi dalam kalangan peminat apabila pelumba Ducati itu diejek semasa upacara podium selepas memenangi perlumbaan pecut di Mugello tahun ini.
Marquez mendominasi musim 2025 dengan 11 kejuaraan dan 14 perlumbaan pecut, namun terpaksa diketepikan selama empat pusingan terakhir akibat insiden di Indonesia. – AGENSI










