PETALING JAYA: Malaysia berpotensi berdepan gelombang kedua hujan lebat berterusan dalam tempoh terdekat apabila beberapa indikator cuaca menunjukkan ruang kepada pembentukan luruan monsun baharu dan sistem tekanan rendah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, walaupun cuaca kembali baik sejak beberapa hari lalu, tiada sela masa khusus untuk menjangka bila episod seterusnya boleh berlaku kerana hujan lebat akibat Monsun Timur Laut (MTL), lazimnya tercetus apabila luruan monsun berlaku serentak dengan udara lembap di rantau negara.
Katanya, situasi sebelum ini telah menyebabkan banjir di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor terutama dalam fasa awal MTL yang bermula pada 13 November lalu.
“Jabatan kami kini sedang memantau rapat pola angin, tekanan udara, kelembapan dan pembentukan awan yang menjadi indikator awal kepada episod hujan lebat baharu.
“Amaran hujan lebat berterusan akan dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal jika terdapat tanda-tanda cuaca buruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, tinjauan cuaca jangka panjang yang dikemaskini pada 1 Disember, MET Malaysia menjangkakan sekurang-kurangnya lima hingga tujuh episod luruan monsun sepanjang MTL 2025 hingga 2026.
Negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Selangor dijangka terus mengalami taburan hujan bulanan yang tinggi sepanjang Disember hingga Februari dengan beberapa kawasan Pantai Timur seperti Besut, Setiu, Kuantan dan Mersing berpotensi menerima lebih 600 hingga 1,000 milimeter (mm) hujan pada Disember sahaja.
Menurut Mohd. Hisham, keadaan La Nina lemah yang sedang berkembang di Lautan Pasifik turut berperanan meningkatkan taburan hujan di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia sekurang-kurangnya sehingga Februari 2026 sebelum beralih ke fasa neutral.
Katanya, MET Malaysia mengingatkan orang ramai mengenai risiko tambahan sekiranya episod hujan lebat berlaku bertepatan dengan fasa air pasang besar, sekali gus meningkatkan kemungkinan banjir lebih buruk khususnya di kawasan rendah. – UTUSAN










