Majlis perasmian Sukan SEA 2025 diteruskan

Majlis perasmian Sukan SEA 2025 diteruskan

ORANG ramai mula membanjiri perkarangan Stadium Nasional Rajamangala bagi menyaksikan pembukaan rasmi Sukan SEA Thailand 2025 di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Majlis perasmian Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung malam ini di Stadium Nasional Rajamangala tetap akan diteruskan, meskipun dibayangi kebimbangan keselamatan susulan insiden pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja.

Di sebalik tema perpaduan ‘We Are One – Connected by the Sea’ suasana di Bangkok kini dilaporkan berada dalam keadaan berjaga-jaga terutamanya membabitkan keselamatan kontinjen negara-negara bertanding termasuk Kemboja sendiri.

Malam ini, acara pembukaan Sukan SEA edisi ke-33 itu akan bermula pada pukul 7.00 malam (waktu tempatan) dengan menyaksikan perarakan masuk lebih 12,000 atlet dari 11 negara bertanding.

Suasana sekitar Bangkok turut menyaksikan beberapa jalan utama ditutup sepenuhnya susulan keberangkatan Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Ratu Suthida yang dijadualkan merasmikan temasya tersebut.

Seramai 100 pengamal media termasuk wartawan dan jurukamera turut dibawa menaiki bas khas ke stadium bagi memastikan kawalan pergerakan lebih teratur.

Stadium Rajamangala bakal bertukar wajah menjadi ‘lautan digital’ menerusi teknologi terkini sekali gus bersedia memukau ribuan penonton dan jutaan peminat sukan di rantau ini dengan konsep pentas unik yang digelar ‘Stage of Water’.yang menghubungkan 11 negara Asia Tenggara.

Lebih 800,000 liter air bersamaan satu pertiga kapasiti kolam renang Olimpik akan digunakan di atas pentas untuk persembahan pembukaan tersebut.

Thailand turut memperkenalkan konsep ‘The First Green Flame’ dengan menggunakan obor digital tanpa asap pertama dalam sejarah temasya, yang akan disempurnakan oleh jaguh Taekwondo Thailand, Panipak Wongpattanakit.

Turut menjadi daya tarikan pada upacara malam ini ialah penampilan bintang K-pop antarabangsa, BamBam GOT7 serta legenda Muay Thai, Buakaw Banchamek, yang dijangka memeriahkan persembahan pembukaan.

Pintu stadium dibuka mulai jam 6.00 petang, manakala siaran langsung boleh ditonton menerusi saluran penyiar rasmi tuan rumah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN