BANGKOK: Malaysia mengakhiri saingan Kejuaraan Futsal Bawah 19 (B-19) ASEAN 2025 di tempat ketiga selepas menumpaskan Vietnam 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, sebentar tadi.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Nonthaburi itu, Malaysia bangkit pada babak kedua bagi mengikat perlawanan 2-2 untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Terdahulu, Vietnam meraih gol pertama seawal minit kelima perlawanan menerusi rembatan deras Nyuyen Truong Hoang Long untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 0-1.
Bersambung babak kedua, Rakhpol Seinetngam menukar strategi untuk terus menekan Vietnam dalam usaha memburu gol penyamaan, termasuk menggunakan taktikal ‘power play’ pada empat minit terakhir.
Strategi ‘power play’ jurulatih kelahiran Thailand itu berhasil apabila Iqbal Hazim Radzi meledak gol penyamaan pada minit ke-39 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Vietnam kembali didepan 17 saat (s) sebelum perlawanan berakhir menerusi rembatan jarak jauh Nguyen Thac Hieu.
Namun, taktikal ‘power play’ Rakphol benar-benar berbisa apabila percaturannya berkenaan membolehkan Muhamad Aidil Zakwan Zaidi menjaringkan gol penyamaan pada lima saat terakhir.
Keputusan 2-2 menyaksikan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti dengan penjaga gol negara, Mohammad Ammar Harith Mohamad muncul wira pasukan.
Penjaga gol kelahiran Kelantan itu berjaya menyelamatkan satu sepakan penalti lawan sebelum Aidil Fazrez Zul Hatta meledak untuk kemenangan berpihak kepada Malaysia 4-3.-UTUSAN









