KL City akur seri di saat akhir

KL City akur seri di saat akhir

Kuala Lumpur City FC membawa pulang satu mata berharga selepas seri 1-1 menentang Negeri Sembilan FC di tempat lawan, semalam. - Liga Bolasepak Malaysia (MFL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Risto Vidakovic mengakui terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Vidakovic berkata segala perancangan taktikal yang dibincangkan sudah diterapkan ke dalam permainan bagaimanapun gol penyamaan tuan rumah di saat akhir telah mengubah keputusan perlawanan.

“Saya berpuas hati dengan permainan ini sebab saya selalu meminta pemain memberikan segala-galanya dalam perlawanan. Saya minta mereka bagi 100 peratus dalam permainan.

“Semua perkara yang dibincangkan bersama pasukan pemain menterjemahkannya di atas padang. Saya kasihan sebab bolos pada saat akhir.

“Saya fikir ini keputusan yang adil kerana NSFC mendominasi permainan selepas kami mendapatkan gol,” katanya.

Dalam aksi itu, kemenangan hampir berpihak kepada KL City FC bagaimanapun gol penyamaan Joseph Esso pada minit terakhir permainan menafikan jaringan Kpah Sherman pada minit keenam.

Vidakovic turut berkata pemainnya menunjukkan peningkatan terutamanya daripada segi taktikal serta bertahan dengan baik.

“Malangnya kami bolos pada minit ke-90. Penting untuk kita dapatkan tiga mata sebab selepas ini kami menentang Kuching City FC dan kami berkongsi mata. Apa-apa pun saya gembira dengan pemain,” katanya.

Kuching City FC berada di tangga kedua berkongsi 24 mata dengan KL City di kedudukan ketiga dan kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam aksi liga di Cheras, Rabu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN