Kim Swee calon utama Pengarah Teknikal AMD

Kim Swee calon utama Pengarah Teknikal AMD

ONG KIM SWEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Datuk Ong Kim Swee adalah calon utama untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Nama Kim Swee dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan sedang diteliti Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Semua keputusan teknikal di bawah bidang kuasa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), manakala MSN memantau pelaksanaan keseluruhan program. 

“Saya sendiri akan meneliti cadangan ini sebelum pengumuman dibuat,” kata Hannah Yeoh dalam satu sidang media di Kursus Latihan Asas Sepak Takraw Perpaduan Kaum (KLAS 2025) semalam.

Langkah ini disifatkan sebagai berita baik buat pembangunan bola sepak negara terutama dalam memberikan peluang lebih besar kepada jurulatih tempatan untuk mengemudi masa depan sukan No.1 negara.

“Kita mahu lebih ramai jurulatih tempatan diberi ruang untuk bersinar. Ini perkembangan positif yang harus dihargai,” jelasnya.

Pengurusan NFDP masih berada di bawah MSN selepas keputusan untuk menyerahkan sepenuhnya kepada FAM ditangguhkan berikutan krisis dalaman badan induk bola sepak negara.

“Kita terpaksa tangguhkan serahan itu buat sementara waktu sehingga kepimpinan FAM kembali stabil. Namun, aspek teknikal tetap menjadi domain FAM dan Jawatankuasa Teknikal,” tambahnya.

Jika dilantik, Kim Swee yang kini bebas selepas meninggalkan kelab Liga Indonesia, Persik Kediri, dijangka menggantikan Oscar Francisco Gonzalez Diaz yang memegang jawatan Pengarah Teknikal AMD sejak Mei tahun lalu.

Rekod cemerlang Kim Swee dalam membangunkan skuad Harimau Muda termasuk kejayaan membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta menjadikan beliau calon paling tepat untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak akar umbi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN