PETALING JAYA: Gara-gara melakukan kesilapan pada minit terakhir permainan telah menyebabkan skuad hoki remaja wanita negara terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 kepada Chile dalam kempen Piala Dunia Remaja Wanita di Santiago, semalam.
Ketua jurulatih negara, Lailin Abu Hassan berkata, berdasarkan analisa yang dilakukan terhadap tuan rumah, pemainnya dapat beraksi dengan baik namun mengakui kekurangan fokus telah menyebabkan gawang pasukan dibolosi.
“Kita sudah menganalisa deretan pukulan sudut penalti Chile dan ketika mereka menyerang dan bertahan dalam pukulan sudut penalti, pemain dapat membaca dengan baik.
“Namun, pada akhir permainan mereka kurang fokus, mungkin tekanan yang tinggi, di mana kejohanan yang besar, jadi mereka membuat kesilapan sebab bola itu terkena pemain pertama dan terbias terus masuk ke dalam gawang,” katanya.
Tuan rumah menjaringkan gol tunggal permainan seminit sebelum tamat menerusi pukulan sudut penalti Saenz Javiera. Kekalahan itu menyebabkan Malaysia berada di kedudukan terakhir kumpulan sekali gus gagal ke suku akhir.
Lailin turut berkata, anak-anak buahnya mencipta beberapa peluang namun tidak memanfaatkannya dengan baik apabila segala perancangan gagal dilaksanakan.
Menjelang pertemuan menentang Belanda dalam aksi terakhir Kumpulan A pada hari ini, Lailin mengakui tugas berat menanti anak-anak buahnya.
“Kita tahu mereka juara edisi lalu dan mereka telah membelasah Chile 10-0 dan Jepun 8-0. Saya harap pemain lebih yakin dan fokus serta memberi persembahan terbaik untuk menghalang segala asakan,” katanya. – UTUSAN










