BANGKOK: Pesilat wanita negara, Ummi Mashitah Hassan berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 hari ini, biarpun ‘diserang’ influenza dua hari sebelum kejohanan bermula.
Atlet kelahiran Miri, Sarawak itu mendedahkan berat badannya jatuh di bawah had kategori pertandingan akibat demam, memaksanya minum tiga botol air setiap pagi untuk semata-mata melepasi syarat kelayakan.
Situasi getir itu tidak mematahkan semangat Ummi Mashitah yang mempamerkan aksi bertenaga menumbangkan wakil tuan rumah, Anuntaya Niyompan dengan keputusan 104-88 dalam aksi final kelas C Puteri (55-60kg).
“Alhamdulillah saya berusaha dan saya percaya dengan rezeki Allah, saya percaya dengan usaha-usaha saya selama ni. Saya percaya dengan sesi latihan jurulatih saya dan akhirnya saya sampai di sini Alhamdulillah,” katanya.
Lebih manis, kejayaan Ummi dianggap luar biasa kerana dia sebenarnya bermula daripada kosong dan hanya menyertai kelab silat di kampung secara suka-suka dua tahun lalu sebelum bakatnya digilap sehingga berjaya.
Ummi menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki Allah dan hasil bimbingan jurulatih kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang banyak membakar semangatnya untuk cemerlang di bumi Thailand.- UTUSAN










