BANGKOK: Skuad gimnastik negara terus mencuri tumpuan apabila menjelmakan dua pingat emas menerusi acara melombol lelaki dan batang titian wanita di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Dalam aksi di Gimnasium 5 Thammasat University itu, jaguh gimnastik artistik lelaki, Muhammad Sharul Aimy mempamerkan aksi memukau untuk meraih pingat emas dalam dengan catatan 13.833 mata.
Bagaimanapun kemenangan cukup dramatik apabila beliau hanya dipisahkan 0.016 mata dengan pemenang pingat perak dari Filipina, Cruz John Ivan yang mengutip 13.817 mata dan pingat gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Tikumporn Surintornta (13.717).
Aksi luar biasa diteruskan oleh gimnas wanita, Yeap Kang Xian yang mendominasi acara batang titian selepas tenang melakukan rutinnya untuk mencatat mata tertinggi 13.233, jauh meninggalkan pesaing dari Singapura, Amanda Yap Ee Lin (12.733) yang meraih perak.
Sementara itu, bintang Filipina, Aleah Finnegan yang juga peserta Olimpik terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatat 12.467 mata.
Semalam, Malaysia meraih pingat emas menerusi Rachel Yeoh Li Wen dalam acara palang bertingkat.- UTUSAN










