KUALA LUMPUR: Skuad bola keranjang negara meraih tonik istimewa menjelang Sukan SEA 2025 apabila dijanjikan seunit kondominium bagi setiap pemain dan jurulatih jika berjaya membawa pulang pingat emas.
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, insentif itu bagi membakar semangat pemain selain tanda penghargaan terhadap pengorbanan atlet.
“Insentif itu dianggap simbol keselamatan jangka panjang khususnya selepas atlet bersaraf. Sekurang-kurangnya bila pemain dapat rumah, mereka ada tempat berteduh walaupun selepas karier tamat,” katanya.
Sementara itu, pemain bola keranjang lelaki, Ong Wei Yong, berkata, persiapan pasukannya kali ini berada pada tahap terbaik selepas menjalani siri kejohanan serta latihan sejak Februari lalu.
“Peluang seperti ini (ganjaran rumah) tiada di negara lain. Mereka mungkin dapat wang ringgit tetapi tidak sebesar apa yang negara kita berikan. Ganjaran rumah ini memang membakar semangat semua pemain.
“Tahun ini lebih mencabar tetapi pada masa yang sama kami lebih yakin. Saya tidak mahu kata 100 peratus, tetapi 80 peratus kami percaya mampu capai sasaran emas,” katanya.
Wei Yong, yang pernah mewakili Malaysia di Filipina, Vietnam dan Kemboja, mengakui Filipina kekal sebagai seteru paling kuat berdasarkan tradisi bola keranjang, namun percaya peluang kali ini adalah yang terbaik dalam beberapa tahun.
Sementara itu, pemain bola keranjang wanita, Yap Fook Yee yang merupakan pemenang emas Sukan SEA 2015 dan 2017 turut mengakui insentif itu meningkatkan semangat mereka untuk menamatkan kemarau emas yang berlarutan sejak 2017.
“Sudah tentu saya akan sasarkan lagi satu emas. Ini mungkin SEA Games terakhir saya, jadi saya mahu berjuang sehabis baik untuk emas ke ketiga,” katanya.
Skuad wanita turut berdepan cabaran besar daripada Filipina, Thailand dan Indonesia, namun peraturan baharu yang hanya membenarkan pemain tempatan beraksi menjadikan persaingan lebih seimbang.
“Kami mahu berjuang lagi, memburu emas untuk Malaysia. Semua pemain sudah lama tunggu peluang ini,” katanya.
Dengan persiapan rapi, keyakinan pemain bola keranjang skuad Malaysia kini berada pada landasan tepat memburu kilauan emas di Thailand.-UTUSAN










