PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih memiliki alasan untuk bertindak jika tujuh pemain warisan menuntut pampasan selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan pemain warisan tidak boleh melepaskan tanggungjawab hanya kerana mendakwa tidak faham atau tidak membaca dokumen yang ditandatangani sewaktu proses menjadi warganegara.
“FAM boleh menuntut terhadap pemain warisan kerana mereka telah memberi representasi bahawa mereka layak mewakili Malaysia kerana mempunyai darah Malaysia.
“Pada akhirnya, pemain warisan telah menandatangani dokumen-dokumen yang telah membawa mereka menerima kerakyatan Malaysia. Sikap tak ambil tahu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya terutama sekali pemain-pemain profesional, ini bukan budak-budak baru mulakan karier mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa isu penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan menimbulkan spekulasi bahawa mereka sedang berkira-kira untuk menuntut pampasan ganti rugi bersamaan gaji setahun terhadap FAM.
Difahamkan, langkah tersebut akan diteruskan jika FAM gagal dalam rayuan ke CAS bagi membatalkan atau merendahkan tempoh penggantungan 12 bulan yang dikenakan kepada mereka oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Rayuan di CAS dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk mengetahui keputusannya dan ia bakal menentukan masa depan tujuh pemain terbabit.
Bagaimanapun, Nik Erman akui ‘Motivated Decision’ sebelum ini mendapati berlaku falsifikasi dokumen oleh pihak dalaman FAM dan ia menjadi asas kepada pemain untuk membuat tuntutan pampasan atau ganti rugi, namun unsur kecuaian mereka tetap diambil kira.
“Pemain tidak membaca dan tidak memahami dokumen yang mereka tandatangani. Sikap sambil lewa selepas dijatuhkan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib turut diambil kira oleh Jawatankuasa Rayuan,” jelas Nik Erman.
Keadaan ini menimbulkan dilema, kerana walaupun pemain mempunyai asas untuk tuntutan, tanggungjawab profesional mereka dalam menandatangani dokumen tetap menjadi penentu.
Isu ini bukan sekadar berkaitan pampasan semata-mata, tetapi turut menyentuh integriti, tanggungjawab dan maruah kedua-dua pihak iaitu pemain dan FAM.-UTUSAN










