MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menggesa agar pemainnya lebih klinikal selepas terikat 4-4 menentang Bournemouth di Old Trafford, semalam.
United mendahului permainan tiga kali sebelum pelawat berjaya menyamakan kedudukan dalam satu aksi yang mendebarkan.
Kelemahan pertahanan United tanpa gandingan berpengalaman Harry Maguire dan Matthijs de Ligt terserlah apabila mereka gagal meraih kemenangan untuk perlawanan ketiga berturut-turut di laman sendiri.
Red Devils sebelum ini tewas 1-0 di Old Trafford kepada Everton yang bermain dengan 10 orang bulan lalu dan turut melepaskan kelebihan dalam keputusan seri 1-1 menentang West Ham yang sedang bergelut.
Bagaimanapun, Amorim meluahkan kekecewaannya terhadap peluang yang disia-siakan dalam separuh masa pertama yang sangat dominan.
“Kami benar-benar kecewa. Perlawanan yang gila. Ia mungkin kelihatan seperti kami kehilangan dua mata pada separuh masa kedua tetapi saya fikir kami kehilangannya pada separuh masa pertama.
“Kami mendominasi dan mencipta begitu banyak peluang. Kami sepatutnya masuk ke bilik persalinan dengan keputusan yang berbeza.
“Pada akhirnya kami layak mendapat lebih. Ia adalah perlawanan yang menyeronokkan untuk semua orang di rumah.
“Orang ramai, terutamanya di Old Trafford mahu menang tetapi mereka juga mahu terinspirasi melihat pasukan bermain bola sepak yang bagus. Kami melakukannya dengan baik pada saat-saat tertentu.
“Ia satu persembahan yang baik tetapi kami perlu lebih klinikal kerana kami mencipta begitu banyak peluang,” katanya.
Keputusan seri itu membolehkan United naik ke tangga keenam liga, hanya dua mata di belakang kelompok empat teratas. – AFP









