PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim melahirkan rasa bangga terhadap anak angkatnya, Putri yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang ketika menuntut di Universiti Malaya (UM).
Menurut beliau, Putri yang baru menjalani pembedahan akibat masalah kesihatan tetap menunjukkan semangat luar biasa dalam meneruskan kehidupan walaupun berdepan pelbagai dugaan.
Katanya, Putri bukan sahaja perlu berdepan kesakitan sendiri, malah turut memikul tanggungjawab menjaga kedua-dua ibu bapanya yang menghidap penyakit kronik.
“Putri antara anak angkat yang saya amat banggakan. Keluarganya hidup dalam keadaan mencabar apabila kedua-dua ibu bapanya tidak sihat, termasuk bapanya yang merupakan pesakit jantung dan sedang menunggu pembedahan pintasan (bypass).
“Dalam keadaan itu, Putri sendiri diuji dengan masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan serta rawatan berterusan. Namun, dia tetap tabah dan tidak pernah mengalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, kegigihan Putri terbukti apabila berjaya meraih Anugerah Naib Canselor ketika pengajian diploma serta memperoleh anugerah Dekan sebanyak tiga kali sepanjang pengajian di UM.
Dalam pada itu, Steven Sim berkata, beliau turut menawarkan peluang kepada Putri untuk menjalani latihan industri di kementeriannya berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang.
“Saya amat bangga dengan Putri. Dia memaklumkan akan menjalani latihan industri tidak lama lagi dan saya tawarkan tempat di kementerian, bukan kerana dia anak angkat saya, tetapi kerana prestasinya yang sangat baik di UM.
“Kos ubat-ubatannya mencecah RM250 sebulan dan saya akan menanggungnya selama setahun. Selain itu, saya turut menghulurkan sedikit bantuan sebagai persiapan menyambut Hari Raya,” ujarnya.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar segala urusan Putri dan keluarganya dipermudahkan.
“Teruskan perjuangan, Putri. Anda pasti boleh melakukannya,” katanya. – UTUSAN










