Wei Chong-Kai Wun belum menyerah kalah

Wei Chong-Kai Wun belum menyerah kalah

Man Wei Chong-Tee Kai Wun memasang impian beraksi di Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China pada Disember depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak mahu menyerah kalah, selagi pintu ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China pada Disember depan belum tertutup rapat.

Menurut Wei Chong, dia teruja untuk beraksi pada kejohanan penutup musim itu dan amat berharap dapat melayakkan diri buat kali pertama biarpun menerima tentangan sengit daripada rakan seperjuangan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.

“Kami hampir melayakkan diri sebenarnya, cuma ada persaingan daripada Sze Fei-Izzuddin, jadi, bergantung kepada persembahan sendirilah.

“Kalau dia orang lebih bagus, dia orang pergilah, jadi, siapa yang terbaik dia yang akan melayakkan diri,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di sini, semalam.

Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking No. 4 dunia berada di kedudukan ke-7 dalam ranking Jelajah Dunia, manakala, Wei Chong-Kai Wun pula di tempat ketiga.

Justeru, Sze Fei Izzuddin perlu memastikan gelaran di Jepun Masters menjadi milik mereka dan pada penyertaan di Terbuka Australia, minggu depan pula, pasangan itu perlu sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir bagi memintas kedudukan Wei Chong-Kai Wun.

Pada ketika ini, usaha keras Sze Fei-Izzuddin berada di landasan tepat setelah mengesahkan tempat ke separuh akhir Jepun Masters di Komamoto, semalam, selepas menewaskan beregu No. 12 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-16, 10-21, 21-16 dalam masa 46 minit.

Menurut Wei Chong, dia serta Kai Wun perlu beraksi baik di Terbuka Australia dan tidak boleh mengharapkan kegagalan Sze Fei-Izzuddin di Jepun Masters kerana beregu itu kini berada pada prestasi yang baik.

“Cuma sekarang ini Kai Wun masih belum betul-betul cergas, jadi, kalau keadaan berlaku sebaliknya dan kami dapat layak ke WTF lebih awal, kami mungkin tidak beraksi di Terbuka Australia, bagi memberi ruang kepada Kai Wun berehat secukupnya,” katanya.

Mengulas pula tentang kegagalan dia dan Kai Wun pada pusingan pertama di Kumamoto, Wei Chong berkata, kekalahan itu hadir daripada kesilapan sendiri kerana mereka tidak mampu mempamerkan persembahan yang baik.

“Memang Kai Wun masih belum pulih sepenuhnya, tetapi, bagi saya kami tewas di sebabkan kegagalan kami sendiri bermain dengan baik, macam Kai Wun keadaan mungkin lebih memenatkan sebab dia tak cergas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN