PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan baginda memiliki keutamaan dan prinsip sendiri yang lebih penting daripada orang yang bercakap kosong.
Perkara itu dinyatakan Tunku Mahkota Ismail di laman Instagram sebagai menjawab pertanyaan bagaimana baginda menghadapi dengan tenang semua situasi perkara yang berlaku ketika ini.
“Sejak kebelakangan ini ramai orang bertanya kepada saya. Bagaimana saya boleh begitu tenang dengan semua perkara yang berlaku? Jawapan saya, apa perkara paling teruk yang boleh berlaku?.
“Saya tak risau tentang apa-apa. Saya ada keutamaan dan prinsip saya sendiri yang jauh lebih penting daripada orang yang bercakap benda bukan-bukan.
“Hari seseorang boleh datang dan rampas kopi dari tangan saya adalah hari yang saya patut risau. Saya hanya percaya dan berserah kepada Allah. Saya sudah melakukannya selama bertahun-tahun.
“Berapa tahun mereka meragui? Berapa tahun mereka membenci? Berapa tahun mereka jalankan kempen fitnah? dan saya mengakhirinya di kedudukan atas, tetap menang.
“Fahami ini, pembenci atau mereka yang kalah biasanya bergerak dalam kumpulan. Hanya yang kuat berjalan sendirian. Apabila aura dan kemampuan anda terlalu tinggi, mereka akan membentuk kumpulan untuk menjatuhkan anda.
“Mereka membenci anda kerana anda berjaya mengharungi semua perkara yang sepatutnya menghancurkan anda dan anda masih berdiri. Kekuatan seperti itu menakutkan orang yang lemah,” tulis Tunku Mahkota Ismail.
Dalam hantaran yang sama Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui jalan yang terpaksa ditempuhi bukan mudah, namun baginda tetap memikul tanggungjawab itu dan mengharungi cabaran yang datang.
“Akhirnya, segala-galanya akan berakhir, manusia berubah dan hidup diteruskan. Saya tahu jalan saya tidak pernah mudah. Kita dilahirkan untuk mencapai kehebatan, memikul tanggungjawab dan mengharungi cabaran lagi dan lagi.
“Setiap cabaran membentuk legasi. Saya tahu Allah tidak akan memberi semua ini kepada saya hanya untuk membiarkannya mati. Allah adalah sebaik-baik perancang. Setiap pertempuran dimenangi sebelum bertarung. Walau jika saya kalah, saya menang. Ia takdir,” tulis Tunku Mahkota Ismail.-UTUSAN










